Monday, 9 September 2013

Pulau Perhentian

Pulau Perhentian merupakan sekumpulan pulau-pulau kecil yang terletak di Pantai Timur Malaysia. Pulau ini terletak lebih kurang 10 batu nautika atau 19km dari negeri Terengganu. Nama 'Pulau Perhentian' diberi atas dasar tujuan asalnya iaitu tempat perhentian bagi pedagang dari Malaysia ke Bangkok. 

Terdapat dua pulau utama iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil . Pulau Perhentian Kecil ini kebiasannya menjadi pilihan pelancong kerana tempat penginapan yang disediakan berpatutan. Bagi mereka yang mahu lari dari kebisingan bolehlah berkunjung ke Pulau Perhentian Besar yang mana kawasannya lagi tenang dan sesuai untuk percutian keluarga.


Jika anda ingin berkunjung ke sini dicadangkan anda merancang perjalanan anda dengan sebaiknya. Hal ini kerana pantai timur mengalami Monsun Timur pada bulan November hingga awal Februari. Pada tempoh masa ini kebanyakan tempat penginapan ditutup kerana keadaan laut pada masa ini merbahaya untuk melakukan aktiviti laut. Waktu yang sesuai untuk berkunjung ke sini ialah dari bulan Mac-April sehingga penghujung Oktober. 

Anda boleh ke Pulau Perhentian dengan menaiki bot di Jeti Kuala Besut. Jangka masa perjalanan untuk ke Pulau Perhentian adalah antara 30 hingga 45 minit. Barhati-hati ketika memilih bot untuk ke Pulau Perhentian. Jangan menaiki bot yang tidak mempunyai lesen yang sah. Kadar tambang bot adalah antara RM40 hingga RM70 bergantung kepada syarikat yang mengendalikan perkhidmatan bot.


Terdapat banyak tempat penginapan yang disediakan di Pulau Perhentian. Anda boleh memilih yang mana yang bersesuaian dengan bajet dan keselesaan anda selama bercuti di sini. 




 Harga yang ditawarkan bergantung kepada syarikat perhotelan dan jenis bilik yang anda suka.






Jika anda ingin bersiar-siar sekitar Pulau Perhentian anda bolehlah menggunakan perkhidmatan bot selain berjalan kaki. Biasanya bayaran yang dikenakan adalah RM12 untuk pergi ke pulau-pulau berhampiran. Terdapat banyak tempat pejalan kaki bagi anda yang suka menikmati pemandangan sambil berjalan bersama rakan-rakan atau keluarga. 


Terdapat bebrapa aktiviti menarik yang wajib anda lakukan jika berkunjung ke Pulau Perhentian. Antara aktiviti yang disediakan disini ialah 'Scuba Diving', 'Snorkeling', berkayak dan menjadi sukarela aktiviti pemuliharaan penyu. Aktiviti 'Scuba Diving' di Pulau Perhentian ini menjanjikan kepuasan kepada sesiapa yang melakukannya. Dasar lautnya yang didiami oleh ikan-ikan pelbagai spesis , batu karang dan jerung menjadikan aktiviti ini sungguh menyeronokkan. Antara tempat yang menyediakan aktiviti ini ialah di Steffen Sea Sports (Coral Bay), Angel Divers (Coral Bay), Alu Alu Divers dan banyak lagi.


Untuk aktiviti 'Snorkeling' pula, tempat yang menarik untuk melakukan aktiviti ini ialah Teluk Pauh, Shark Point dan Tanjung Basi. Keindahann hidupan dasar laut membuatkan anda terpukau dan tenang ketika melakukan aktiviti ini. Bayaran yang dikenakan untuk melakukan aktiviti ini amat berpatutann. Anda boleh melihat jerung dan penyu dengan lebih dekat.


Bagi yang gemar untuk melakukan aktiviti lasak anda bolehlah mencuba 'Jungle Trekking'. Gugusan pulau disini dihubungkan oleh pantai-pantai dan laluan hutan. Jika anda bernasib baik anda boleh melihat sekumpulan monyet liar dan spesis labah-labah besar.. 



Aktiviti ini tidak memerlukan bayaran untuk melakukannya tetapi ia memerlukan kekuatan mental dan fizikal. Anda boleh melakukan aktiviti ini sebaik-baiknya berkumpulan bagi mengelakkan perkara yang tidak di ingini.